Salah satu urusan yang perlu aku lakukan setelah pemergian arwah ayah adalah tuntutan mengerjakan haji menemani ibu ku pada tahun ini. Aku sebenarnya memang agak kaget bila terpaksa menjadi pengganti arwah ayah yang juga telah mendapat kelulusan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini. Sebenarnya, Alhamdulillah, arwah ayah sudah berpeluang mengerjakan haji sebanyak 2 kali. Kedua-duanya dibuat ketika beliau dikehendaki bertugas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Tabung Haji untuk merawat jemaah haji Malaysia di sana. Alhamdulillah.
Kali ini, setelah berapa lama menunggu, ibu dan arwah ayah telah mendapat lampu hijau untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini. Cumanya Allah lebih menyayanginya. Ataupun inilah hikmah yang Allah ingin tunjukkan kepada aku. Aku tak pasti. Seingat aku, hanya aku yang belum menjejakkan kakiku ke tanah suci. Adik beradik ku yang lain telah sampai kesana sewaktu mengerjakan umrah dulu. Ketika itu aku disibukkan dengan tuntutan tugas dunia ini. Itulah, memang bukan rezeki aku ketika itu. Bukan aku hendak menolakpun sebenarnya. Cumanya aku lebih suka ikut semua ketentuan ilahi. Ketika arwah ayah, ibu dan adik beradik habiskan masa di Jepun, aku di Malaysia mengikuti kursus tentera. Akan ada sahaja sebab. Ketika mereka di Jepun, ketika itulah Loji Nuklear pecah akibat Tsunami. Gempa bumi yang dirasakan oleh adik beradik aku tidak dapat aku rasa sekali. Sesungguhnya Allah ada perancangan untuk aku. Aku selalu mempunyai kepercayaan seperti itu.
Apabila arwah hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, ada permintaan yang menjadi wasiat kepada aku. Untuk menemani ibu ke Tanah Suci. Masalahnya, aku pun belum membuat sebarang persiapan. Macam mana ni? Daftar pun tidak lagi pada ketika itu. Nak dijadikan cerita, duit simpanan yang arwah kumpul untuk mengerjakan ibadah haji sudah cukup dan kini akan dikreditkan ke dalam akaun aku untuk melepaskan syarat aku menemani ibu pada bulan September nanti. InsyaAllah.
Allah semacam ingin tunjukkan aku sesuatu. Sesuatu yang menunjukkan kekuasaanNya. Begini, dari agakkan aku, kali pertama arwah dikehendaki bertugas di Tanah Suci pada ketika arwah berumur 30++ dan kedua pun selang 2 tahun daripada yang pertama. Dan kini sekiranya permohonan rayuan menjadi mahram tumpang diluluskan oleh pihak Tabung Haji. Aku juga akan turuti jejak langkah arwah untuk dapat mengimarahkan Tanah Suci pada usia 30 tahun. Aku gementar sebenarnya sekiranya jika inilah yang Allah ingin tunjukkan kepada aku. Semakin kerdilla aku rasakan diri ini disisi NYA. Adakah ini nikmat hidayah yang ingin diberikan kepada aku selepas nikmat yang sama diberikan dulu? Aku hanya berupaya melafaz perasaan syukur kerana menjadi insan pilihan.
What comes around, Goes around. And What you give, you get back.
Peribahasa Inggeris itu benar-benar terpahat dan mengusik jiwa aku. Bukan itu sahaja, aku juga percaya amal-amal yang pernah aku buat sepanjang aku hidup. Antaranya jika hendak dijadikan cerita, aku ada menolong orang-orang disekeliling aku diantaranya adalah yang seorang ini. Yang seorang ini berada dalam kesusahan dan ingin membuat pinjaman peribadi. Dan beliau tanyakan kepada aku adakah aku bersedia menjadi penjaminnya. Aku katakan kepadanya; ' Jika orang sebaik tuan yang saya rasakan penuh dengan sifat ikhlas, tiada sebab saya tidak hendak menjadi penjamin tuan'. Disebabkan itu, aku menjadi penjaminnya dan bolehla dia membantu dan menguruskan masalah yang beliau hadapi sewaktu itu. Sejujurnya, dalam hati aku sentiasa ada rasa kelegaan bilamana dapat membantu orang walaupun sedikit.
Yang membuatkan aku terkejut adalah, keesokkan harinya, orang yang aku bantu itu memanggil aku mengadap di biliknya. Ayat-ayat inilah yang membuatkan aku berasa riang hingga ke hari ini, 'Halif, kamu tahu tak apa yang saya akan buat dengan loan yang saya terima tempoh hari, sebahagian daripadaNYA saya dah 'labur'kan untuk saya, ibu dan famili mengerjakan umrah pada bulan Mac tahun 2013 nanti'. Alhamdulillah. Adalah sedikit keberkatan dalam urusan ikhlas aku kepadanya.
Dan bila difikir-fikir. Sekiranya aku dapat ke Tanah Suci tahun ini. Mungkin ini juga sebab mengapa semua ini berlaku. Mungkin sebagai petunjuk kepada aku yang menolong orang yang dalam kesusahan adalah mulia. Dan untuk mengangkat darjat orang yang memberi pertolongan, satu darjat diangkat lebih dari orang yang menerima pertolongan. Dalam kes aku, yang ditolong dapat mengerjakan umrah dan aku kemungkinan haji. InsyaAllah.
Apa-apa pun yang berlaku ini sebenarnya adalah ujian dariNYA. Walaupun nampak seperti nikmat dan kelebihan, sekiranya kita alpa, ia mungkin menjadi dosa dan kerugian. Cumanya, dihari Jumaat ini aku hanya ingin muhasabah diri dan deretan perkara-perkara inilah yang berlaku kepada aku sejak dua menjak ini. Tiada niat untuk berbangga disaat aku masih mencari kekuatan hidayah dariNYA.
No comments:
Post a Comment